Emergency: +603-20319999 | +603-22663333 | e-Aduan Contact Us
EN | BM

News » Kes tipu dalam talian babit kerugian RM15j

Kes tipu dalam talian babit kerugian RM15j

September 2, 2013, Berita Harian  

Kes tipu dalam talian babit kerugian RM15j

Kuala Lumpur: Mangsa penipuan e-dagang mencatatkan kerugian terkumpul sehingga RM15 juta dalam tempoh antara Januari 2011 hingga Julai lalu.

Jumlah kerugian itu menerusi 4,792 kes dalam tempoh sama yang dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia, semuanya membabitkan barang yang dipesan melalui dalam talian tidak diterima pembeli walaupun pembayaran sudah dibuat.

Mereka memilih barang yang mampu menarik minat pembeli dengan menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran dan berkualiti,” Datuk Syed Ismail Syed Azizan, Pengarah JSJK

Pengarah JSJK, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata jumlah kes bagi tahun ini dijangka bertambah apabila sehingga Julai saja, jumlah kes penipuan e-dagang direkodkan ialah 1,201 membabitkan kerugian RM5.2 juta.

Sepanjang 2011, jumlah kes direkodkan ialah 1,854 dengan kerugian RM5.8 juta dan 2012 pula 1,737 membabitkan kerugian RM5.1 juta.

Penipuan e-dagang

Katanya, antara Januari hingga Julai lalu, polis menerima 593 aduan pengguna yang tertipu selepas menggunakan sebuah portal e-dagang terkemuka dengan kerugian RM1.3 juta manakala sebanyak RM660,000 pula lesap dalam urus niaga Facebook.

Syed Ismail berkata siasatan mendapati kumpulan penjenayah siber itu bergerak dalam kumpulan kecil, maksimum tiga orang, dengan mewujudkan laman web e-dagang.

“Mereka memilih barang yang mampu menarik minat pembeli dengan menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran dan berkualiti,” katanya kepada BH semalam.

Antara barang yang ditawarkan termasuk telefon bimbit berjenama terkenal, alat ganti kereta, barang elektronik dan jam.

Pembayaran pula dilakukan menerusi kad kredit, wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun tertentu dan pemindahan wang menerusi perbankan internet.

Beliau berkata, antara cara mudah untuk mengenali urus niaga e-dagang yang mencurigakan ialah penjual tidak mendedahkan kaedah untuk dihubungi seperti nombor telefon atau alamat pejabat kecuali hanya berinteraksi menerusi e-mel.


More news